KUCHING: Pembinaan Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) akan memperlihatkan keunikan Sarawak sekali gus menjadi mercu tanda baharu di bandar raya ini, kata Ketua Pemuda PRS Datuk Snowdan Lawan (gambar).

Justeru, beliau menyifatkan ia tidak seperti tempat lain, yang bakal mencerminkan toleransi beragama di Bumi Kenyalang.

“Kompleks ini akan memperlihatkan keunikan yang telah mengikat kita selama ini. Bukan sahaja toleransi beragama dalam kalangan masyarakat tetapi juga pemikiran, perbuatan dan semangat inklusif,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan semalam, sebagai reaksi terhadap kenyataan Pemuda PSB yang mempersoalkan kos pembinaan Kompleks Unifor bernilai RM70 juta sebagai pembaziran wang.

Snowdan yang juga Menteri Muda Belia dan Sukan menambah, pembinaan kompleks itu di tapak seluas 1.2 hektar itu merupakan pengiktirafan kepada penyatuan masyarakat berbilang bangsa dan agama di Sarawak.

“Kita harus bangga dan menyokong dengan sepenuh hati. Tidak ada negeri lain yang mempraktikkan perkara yang dilakukan oleh Sarawak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan Pemuda PSB menentang sumbangan Kerajaan Sarawak seolah-olah menolak keunikan dan kebebasan beragama di negeri ini.

“Nasihat saya kepada Pemuda PSB jangan menafikan hak agama lain hanya kerana publisiti murahan,” katanya.