KUCHING: Polis tidak menolak kemungkinan suspek lelaki tempatan yang mendalangi kegiatan penjualan organ manusia di pasaran gelap sudah melarikan diri selain bersembunyi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail mengakui suspek seperti dilaporkan akhbar The Sun di United Kingdom terlibat sindiket menjual organ manusia masih dikesan dan belum ditangkap.

Wartawan The Sun di Kuching menyamar dan berpura-pura menjadi pembeli buah pinggang untuk saudara mereka di Britain.

Memetik laporan akhbar tempatan di Kuching, lelaki terbabit menjalankan perdagangan organ dengan menyasar orang yang terhimpit kemiskinan dari seluruh dunia untuk menjual organ mereka.

Aidi berkata, pihaknya akan melakukan pemeriksaan dalam semua segi bagi mengesan suspek termasuk di lapangan terbang.