KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa agar pihak Kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya menyemak semula dasar pemberian pinjaman PTPN secara berkadar kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi mengikut pendapatan isi rumah keluarga, kepada pinjaman penuh 100 peratus merangkumi yuran pengajian dan sara hidup.

Menurut Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang lalu telah menamatkan amalan pemberian pinjaman penuh ini dengan alasan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan yang teruk.

“Bagi Pemuda UMNO, keputusan terdahulu oleh PH dibuat dengan tergesa-gesa, separuh masak dan tidak mengambil kira keupayaan sebenar rakyat yang selama ini mendapat banyak manfaat daripada polisi pinjaman PTPTN di zaman kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya dalam kenyataan yang disiarkan melalui laman Facebooknya, hari ini.

Sebagai contoh, jelas Dr Asyraf Wajdi polisi PTPTN zaman PH memerintah langsung tidak memperkirakan bilangan anak yang sedang mengikuti pengajian di pelbagai IPT, walaupun pendapatan isi rumah telah melangkaui tahap kategori M40.

“Turut dibangkitkan dalam formulasi dasar pinjaman PTPTN oleh Kerajaan adalah jumlah hutang PTPTN yang dikatakan mencecah RM40 bilion setakat Mei 2019.

“Namun begitu, polisi menggalakkan pembayaran balik pinjaman oleh graduan-graduan sentiasa diperkemas dan ditingkatkan pada era pentadbiran Barisan Nasional (BN) termasuklah penglibatan agensi-agensi Kerajaan yang lain seperti Jabatan Imigresen, LHDN, KWSP dan lain-lain sehingga mencatatkan peningkatan kutipan,” ujarnya lagi.

Kata beliau, Pemuda UMNO berpendapat polisi pinjaman PTPTN zaman PH harus segera ditamatkan dan dikembalikan pemberian pinjaman penuh 100 peratus lebih-lebih lagi dalam keadaan rakyat bertambah susah lantaran terkesan dengan kegersangan ekonomi akibat penularan wabak COVID-19.

“Justeru, Pemuda UMNO sekali lagi berharap pihak Kerajaan khususnya YAB Perdana Menteri dapat mempertimbangkan gesaan ini bagi meringankan beban rakyat terutamanya puluhan ribu pelajar yang sedang dan bakal melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi, yang sekaligus mampu memberikan pulangan pelaburan jangka panjang modal insan negara masa depan,” katanya.