KUCHING: Sarawak kini berstatus hijau selepas Daerah Kuching dan Serian tidak mencatatkan jangkitan tempatan pandemik Covid-19 dalam tempoh 14 hari lalu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, ini bermakna semua daerah di Sarawak adalah berstatus hijau.

“Sehubungan itu, JPBN membenarkan semua tempoh operasi perniagaan di Zon 1 meliputi Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian kembali seperti biasa berkuat kuasa pada 15 Ogos ini.

“Keputusan itu dibuat selepas meneliti isu semasa kes positif Covid-19 di Sarawak yang melibatkan perbincangan serta pandangan daripada sudut kesihatan dan ekonomi bersama-sama KKM dan industri pelancongan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mengenai perkembangan kes Covid-19 di Sarawak, JPBN memberitahu, tiada kes positif direkodkan semalam menjadikan keseluruhan kes kekal 681 kes.

“Malah, tiada kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital.

“Seramai tiga orang masih menerima rawatan dalam wad isolasi hospital, dan jumlah kematian kekal 19 orang,” jelasnya.

Tegasnya, Sarawak turut mencatakan 12 orang di bawah pemantauan (PUI) baharu dilaporkan serta tiada kes yang menunggu ujian makmal.