Sunday, September 19, 2021

Rancangan naik taraf perkhidmatan Balai Bomba dan Penyelamat Betong

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kini dalam proses melaksanakan perolehan pacuan empat roda dan fire boat buat kegunaan seluruh negara termasuk di Balai Bomba Betong.

Dengan kawasan yang begitu luas sehingga ke Daerah Lubuk Antu dan Daerah Pusa, jelas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Sri Dr. Hj. Ismail Hj. Abd. Muttalib, kawasan Betong Juga telah mendapat khidmat kebombaan daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Betong dengan jumlah keahlian seramai 61 orang.

“Pada masa kini, Balai Bomba Betong dilengkapi dengan dua jenis jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu jentera Water Tanker, dua Boat Aluminium dan dua kenderaan Utiliti Pacuan Empat Roda. Secara keseluruhannya, Kementerian ini sentiasa berusaha untuk meningkatkan perkhidmatan kebombaan dengan menambah dan menaik taraf jentera serta peralatan kebombaan di seluruh negara,” jelasnya bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat dalam Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Dato’ Sri Dr. Hj. Ismail, Pihak Kementerian turut merancang untuk membina Balai Bomba Kategori E di Lubok Antu bagi tahun 2021, manakala kawasan Daerah Pusa akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

“Menyedari kawasan jagaan Balai Bomba dan Penyelamat kawasan Betong sangatlah luas dan menyukarkan pencapaian tempoh masa bertindak awal 10 minit dengan itu Kementerian ini telah merancang untuk membina Balai Bomba Kategori E seperti di Lubok Antu, pada tahun 2021, manakala untuk kawasan Daerah Pusa akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 mengikut keutamaan.” ujarnya.

Tambah beliau, pihak Kementerian bersedia untuk membantu Bomba Sukarela untuk membuat perolehan kepada peralatan-peralatan yang diperlukan disamping menaikkan elaun Bomba bantuan dari RM6 ke RM8 sejam seperti mana perkhidmatan lain seperti RELA, APM dan sebagainya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru