MARUDI: Penganjuran program berbentuk patriotisme adalah wajar diraikan secara bersama dalam merayakan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang diadakan setiap tahun.

Pegawai Daerah Marudi Mackos Sibong berkata, ianya bertujuan memupuk dan menanam sikap cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

“Kerana hanya dengan perasaan cintakan negara, negeri, masyarakat, kaum dan bangsa kita maka dengan itu kita akan dapat hidup aman damai di dalam sebuah negara yang mempunyai pelbagai masyarakat majmuk di negara kita,” katanya dalam Majlis Pelancaran Program Info On Wheel (IOW) Merdeka 2020 Peringkat Daerah Marudi di Pejabat Daerah Marudi pada Rabu.

Sementara itu, Perasmian Program Info On Wheels (IOW) Merdeka ini menandakan Jabatan Penerangan Daerah Marudi akan bergerak ke rumah-rumah panjang di kawasan Puyut Nibung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu, sekitar Marudi dan seterusnya sehingga ke kawasan Daerah Beluru dengan kemuncak sambutan ialah Merdeka @Community yang akan melibatkan wakil-wakil rakyat.

Hadir sama Pegawai Jabatan Penerangan Daerah Marudi Zaini bin Morshidi, Ketua-ketua jabatan dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Marudi.