KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan bahawa UMNO tetap menyokong kerajaan yang ada hari ini kerana DAP dan konco-konconya tidak ada dalam Perikatan Nasional.

Katanya, orang Melayu tidak menyokong DAP dan tidak suka dengan pemecah bangsa yang bersama dengan DAP itu.

“Selamat tinggal DAP dan parti-parti yang menyokongnya. Selamat datang muafakat yang berkat, manfaatnya kepada rakyat,” katanya menerusi ciapan dalam Twitter beliau.

Terdahulu beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata UMNO kekal teguh dalam Muafakat Nasional bersama PAS dan rakan-rakan Barisan Nasional.

“Tidak pernah perpecahan itu menguntungkan umat dan rakyat. Tidak pernah perpaduan dengan niat yang baik itu merugikan.

“Perbalahan puluhan tahun yang telah dihentikan adalah jalan yang terbaik yang kita pilih,” katanya lagi.

Dilaporkan, 14 Sept tahun lalu UMNO dan PAS memeterai Piagam Muafakat Nasional yang antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.