KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit di Jalan Kampung Nangka/Pinang di sini, sekitar jam 6.20 petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata kejadian berlaku ketika mangsa, berusia 57 tahun dari Kampung Entingan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas pergi ke kedai.

“Semasa kejadian, mangsa bergerak dari arah Kota Samarahan hendak pulang ke rumah selepas pergi ke kedai.

“Semasa hendak masuk ke simpang rumahnya, motosikal mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.

Katanya semasa kejadian, cuaca dalam keadaan baik.

Alexson berkata kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.