JAKARTA: Semua orang maklum wanita hanya melahirkan anak selepas sembilan bulan mengandung kecuali dalam kes kecemasan yang boleh mengancam nyawa si anak atau ibu.

Namun baru-baru ini seorang wanita menyebabkan orang ramai heboh dan terkesima selepas dia melahirkan anaknya selang sejam selepas mengalami simptom bahawa dia sedang hamil.

Kisah Heni Nuraeni, 30, dari Kampung Mandalasari, di wilayah Tasikmalaya menjadi bualan hangat di Indonesia.

Heni mendakwa, pada hari kejadian, perutnya mula membesar dan dia juga mengalami kekejang di bahagian perutnya yang disamakannya dengan kesakitan yang dirasainya semasa hendak bersalin.

Persoalan yang bermain di fikirannya ialah bagaimana dia boleh mengandung sedangkan dia dan suaminya sudah tidak bersenggama 19 bulan.

Selepas kesakitan itu masih berterusan, Heni meminta bantuan jirannya menghantarnya ke rumah bapanya.

Kira-kira sejam selepas itu, keluarganya memanggil bidan dan Heni selamat melahirkan.

Menurut Heni dia tidak mengalami sebarang tanda-tanda hamil seperti dialaminya semasa hamil dengan dua anaknya, seperti muntah pada pagi hari malah kitaran haidnya juga tidak terjejas.

Perkara yang menjadi persoalan utama Heni, suaminya Erik dan doktor ialah pasangan itu belum melakukan hubungan intim sejak dia melahirkan anak perempuannya 19 bulan lalu.

Mereka berdua tidak bersama selepas kelahiran anak tersebut atas sebab perubatan dan perkara ini disahkan oleh Zalkap Drasman, Ketua Klinik Puspahiang.

Kes luar biasa Heni ini menyebabkan pakar dan doktor tidak putus-putus mengunjunginya untuk menemu bualnya sehingga menyebabkan Heni dan keluarganya berasa tertekan.