KABONG: Empat premis perniagaan di sekitar kawasan ini dipotong sumber kuasa elektrik dalam Ops Dadu yang dilakukan pihak polis pagi tadi.

Pemotongan bekalan elektrik dilakukan kira-kira jam 10.15 pagi membabitkan sebuah premis di kawasan tepi jalan Nyabor-Kabong dan tiga premis di kawasan pasar Kabong.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mordani Tanin memberitahu anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Saratok bersama pihak penguatkuasa Sarawak Energy (SE) Cawangan Saratok telah membuat pemotongan sumber kuasa elektrik di rumah berkenaan untuk tujuan langkah-langkah pencegahan jenayah bagi menyekat aktiviti perjudian di Daerah Saratok di bawah Peruntukan Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Semasa operasi pihak polis dan petugas SE melakukan pemotongan bekalan elektrik bermula jam lebih kurang 10.15 pagi dengan melakukan pemotongan bekalan elektrik pertama bertempat di sebuah rumah tidak bernombor tepi Jalan Nyabor-Kabong, Kabong.

“Kemudiannya disusuli dengan pemotongan di tiga premis di pasar Kabong pada jam 10.40 pagi hingga jam 10.55 pagi.

“Tindakan ini diambil setelah premis terlibat didapati menjalankan aktiviti perjudian ‘online’ dan juga penjualan nombor ekor haram,” ujarnya.

Kata Mordani, langkah-langkah pencegahan jenayah bagi menyekat aktiviti perjudian di Daerah Saratok akan berterusan bagi mengekang kegiatan berkenaan daripada terus berleluasa.