KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah melaksanakan beberapa program untuk meningkatkan taraf hidup rakyat selain memperkasa penggunaan digital.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata selain mendidik dan merapatkan pengetahuan digital penduduk di dalam dan luar bandar, program di bawah MDEC turut menyalurkan bantuan kewangan dan geran di bawah program MyCreative Ventures.

“Antaranya kita buat melalui program-program di bawah satu agensi di bawah kementerian dinamakan MDEC. Kita ada program Perkhidmatan e-Dagang Setempat (PeDAS), program Global Online Workforce (GLOW) dan program eRezeki.

“Kita bukan sahaja mendidik mereka dari segi pengetahuan digital untuk kita merapatkan pengetahuan digital penduduk bandar dan luar bandar tetapi kita bantu mereka juga dari segi bantuan kewangan,” katanya pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni samada kementerian ada peruntukan khusus bagi membasmi kemiskinan digital dengan membekalkan peralatan digital kepada golongan memerlukan terutama di kawasan luar bandar.

Menurutnya, Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui pelbagai platform medianya sentiasa komited dalam menyiarkan maklumat terkini dan sahih mengenai pandemik COVID-19 kepada rakyat di seluruh negara.

Jelasnya, RTM telah menyiarkan sebanyak 195 program berbentuk wawancara TV dan radio mengenai kempen pembudayaan norma baru di semua platformnya di seluruh negara dari 30 Julai hingga 15 Ogos lalu.

“Manakala sebanyak 2,629 laporan berita, 30,123 pesanan khidmat masyarakat dan kapsul serta 196 infografik disiarkan dalam tempoh masa yang sama.

“Dalam platform media sosial, RTM juga telah menyiarkan sebanyak 18,507 hantaran menerusi semua akaun yang dimiliki untuk mendapat 1.5 juta tontonan menerusi live facebook mengenai kempen berkenaan dalam tempoh sama,” katanya sambil menambah melalui kempen secara berterusan itu, RTM dapat mengekang penyebaran berita tidak benar.