PUTRAJAYA: Purata 31.29 ujian saringan COVID-19 yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi setiap 1,000 orang adalah setanding dengan Korea Selatan yang berjaya mengekang dengan pantas penularan wabak itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bilangan ujian itu memadai kerana kes positif dalam negara kurang daripada satu peratus, iaitu 0.9 peratus.
“Melihat kepada data kita, Malaysia dan Korea Selatan untuk bilangan ujian (saringan) memang memadai dengan kadar positif kita iaitu 0.9 peratus.

“Sekiranya jumlah kadar positif adalah 10 peratus dan 15 peratus, bermakna KKM perlu melaksanakan lebih banyak ujian untuk mengesan kes-kes yang masih tidak dikesan dalam masyarakat,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di KKM di sini pada Isnin seperti dipetik Bernama.

Setakat ini, Dr Noor Hisham berkata KKM telah menjalankan ujian saringan ke atas 89,288 pesakit mewakili semua lapisan masyarakat dengan kadar positif 0.05 peratus.

“Ini bermaksud, daripada data KKM dapat rumuskan bahawa COVID-19 dalam Malaysia adalah terkawal dan ujian yang KKM laksanakan setakat ini memadai,” katanya bagi menafikan dakwaan KKM kurang membuat ujian saringan COVID19.

Beliau berkata Thailand menjalankan 5.49 ujian untuk 1,000 populasi, iaitu angka ujian COVID-19 yang lebih rendah berbanding Malaysia kerana negara itu telah bebas jangkitan dalam tempoh 70 hari.

“Singapura menjalankan 111.22 ujian dengan kadar positif 8.10 peratus. Negara terbaik adalah New Zealand yang melaksanakan 100.98 ujian bagi 1,000 populasi (0.30 peratus kadar positif) sementara Amerika Syarikat melaksanakan banyak ujian iaitu 180.22 bagi setiap 1,000 populasi dengan kadar positif yang tinggi iaitu 8.10 peratus,” katanya.

Menurut beliau, mengikut piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jika kes positif melebihi 10 peratus atau 15 peratus bermakna lebih banyak kes belum disaring dan lebih banyak ujian perlu dilakukan.

Beliau berkata data itu dikeluarkan oleh Our World in Data, Universiti Oxford di United Kingdom.