YORKSHIRE: Kita biasa mendengar kisah lamaran yang kantoi atau tidak menjadi, namun insiden lamaran terbaharu ini sememangnya lebih hebat daripada biasa.

Rancangan romatik lelaki yang hendak melamar teman wanitanya menyebabkan kediaman mereka terbakar.

Lelaki itu dikatakan memasang ratusan lilin di pangsapuri mereka untuk membangkitkan suasan romantik ketika dia melamar teman wanitanya.

Selain menyalakan lilin, dia turut menghias pangsapuri itu dengan belon warna-warni dan menyediakan wain untuk diminum bersama.

Namun rancangannya tidak berjaya sepenuhnya.

Ketika dia keluar menjemput teman wanitanya yang menunggunya tidak jauh dari kediaman mereka, lilin itu menyebabkan pangsapuri mereka terbakar.

Jabatan Bomba Yorkshire memuat naik foto pangsapuri itu ke laman Facebook mereka untuk memberitahu kebakaran itu berpunca daripada ratusan lilin yang dibiarkan menyala.

Namun begitu tiada siapa yang cedera dan teman wanita lelaki itu juga akhirnya bersetuju berkahwin dengannya.