KUALA LUMPUR: “Yang pasti ada pihak yang cuba sedaya upaya untuk mengeruhkan hubungan antara UMNO dan PAS dengan sengaja mengeluarkan dan menyebarkan surat palsu.”

Demikian tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berikutan tular surat mengatakan PAS menyatakan sokongan untuk mendaftarkan Perikatan Nasional (PN) secara sah.

Katanya, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagi pihak PAS telah nafi mengeluarkan surat menyatakan sokongan untuk PN secara sah mengikut undang-undang, seperti yang diviralkan pihak tertentu di media sosial.

“Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional Khamis lalu, kepimpinan kedua-dua parti UMNO dan PAS sepakat untuk tidak menyertai sebagai komponen kepada PN, sekiranya PPBM mahu mendaftarkannya secara rasmi sebagai sebuah parti politik,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya berkaitan isu tersebut.

Ujar Dr Asyraf lagi, ada juga video tular ucapan calon Ketua Pemuda Armada PPBM yang mendakwa PAS juga sudah bersetuju untuk bertanding atas logo PN yang kononnya bewarna biru gelap, sedangkan PN sehingga sekarang pun belum berdaftar.

“Apa-apa pun pendirian UMNO jelas tidak akan menyertai PN sebagai komponen parti sekiranya mahu didaftarkan,” katanya lagi.

Terdahulu, tular di media sosial surat bertarikh 3 Ogos dan 27 Julai 2020 kononnya ditandatangani oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan persetujuan parti itu menjadi anggota penaja PN.

Surat itu juga turut menamakan Tuan Ibrahim dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Khairuddin Takiri sebagai ahli jawatankuasa penaja PN.

Sebelum ini Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan UMNO membuat keputusan untuk tidak menyertai PN, sebaliknya akan memperkasakan Muafakat Nasional bersama-sama dengan PAS dan komponen Barisan Nasional (BN).