SARIBAS: Masyarakat digesa agar tidak terpedaya dengan maklumat yang dikongsikan menerusi media sosial.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohammad Razi Sitam berkata, segelintir pihak menggunakan media sosial untuk menyebar fitnah dan memburukkan imej kerajaan.

“Saya berasa terkilan dengan tindakan pihak ini yang cuba menghasut dan menyebar fitnah hanya untuk kepentingan mereka sendiri.

“Namun begitu, saya tetap akan terus istiqamah dalam memberi yang terbaik untuk menyediakan kebajikan kepada penduduk di Saribas,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Bicara Keluarga anjuran Wanita Cawangan PBB Saribas di Kampung Tanjung Assam, Saribas pada Ahad.

Sementara itu, Mohammad Razi juga berkata, selain program tersebut, program Skuad Kasih Sayang telah bermula untuk memberi bantuan kebajikan untuk semua penduduk kampung di DUN Saribas yang memerlukan bantuan terutama sekali warga emas dan OKU.

Tambahnya, Program Bicara Keluarga yang dianjurkan pada hari itu sebelum ini telah berjaya dianjurkan di Kampung Tuie pada Sabtu.

Program yang sama juga dijangka bersambung di Dewan Serbaguna Debak pada 15 Ogos 2020.