BUTTERWORTH: Astro Awani hari ini melaporkan Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth hari ini atas pertuduhan meminta suapan berjumlah RM3.3 juta berhubung Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Guan Eng membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, Ahli Parlimen Bagan itu semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3,300,000 sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan projek itu yang bernilai RM6,341,383,702.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar .

Beliau melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

 

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa raya SPRM, Amad Akram Gharib, Mohd Mukhzany Fariz  Mohd Mokhtar dan Francine Cheryl Rajendram.

Manakala Guan Eng diwakili barisan peguam Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh, RSN Rayer dan V. Vemal Arasan.