KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato Sri Hajah Rohani Abdul Karim menyifatkan penyelesaian kes tuntutan cukai jualan (SST) produk petroleum terhadap PETRONAS sebagai ‘hadiah besar’ kepada Kerajaan Sarawak.

Sehubungan itu, beliau amat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana membolehkan perkara tersebut dibincangkan dengan baik agar situasi menang-menang dapat dicapai antara Kerajaan Sarawak dan PETRONAS.

Beliau berkata demikian semasa ditemuramah UKAS bagi mengulas jawapan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Dan Sarawak), Dato Hajah Hanifah Hajar Taib berkenaan penyelesaian komersial untuk tuntutan hak minyak dan gas Kerajaan Sarawak pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

“Timbalan Menteri telah memaklumkan kepada kita bahawa sekarang ini PETRONAS telah menarik balik rayuan di Mahkamah Rayuan pada 3 Ogos.

“Dengan penarikan balik rayuan ini maka PETRONAS tidak lagi mempersoalkan kuasa Sarawak untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum,” katanya.

Jelasnya, Perdana Menteri juga telah memberi mandat kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof bagi membincangkan isu-isu tersebut bersama dengan Kerajaan Sarawak dan PETRONAS.