KUALA LUMPUR: Bekalan barangan keperluan mencukupi, mudah diperoleh dan mampu menampung keperluan dalam negara secara berterusan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ini berdasarkan pemantauan harian penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan semalam sahaja, pemantauan dibuat ke atas 12 jenis bekalan barangan di 543 premis perniagaan termasuk peruncit (390), pemborong (130) dan pengilang (23).

“Maka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PKPP di sini pada Ahad seperti dipetik Bernama.

Beliau berkata penguat kuasa KPDNHEP juga telah melakukan 1,733 pemeriksaan khas Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPP dan mendapati 1,697 premis mematuhi SOP ditetapkan manakala 35 premis diberi nasihat dan satu premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP.

Dalam pada itu, mengenai Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ismail Sabri berkata seramai 178 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan PKPP, dan daripada jumlah itu, lapan direman, 169 individu dikenakan kompaun dan seorang dijamin.

Beliau berkata seorang warga asing turut ditahan polis dalam Operasi Benteng kerana kesalahan imigresen.

“PDRM telah membuat 65 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 26,794 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata dari 24 Julai sehingga semalam, seramai 8,011 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka telah ditempatkan di 31 buah hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Perlis dan Kedah untuk menjalani kuarantin wajib.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 20 individu telah dibawa ke hospital untuk rawatan kerana positif COVID-19.

“Mereka telah pulang dari 30 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis dan Australia,” katanya.