KUALA LUMPUR: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar  kecewa dan murka kerana tiada tindakan diambil sekalipun pernah beberapa kali membangkitkan tentang isu pemburuan haram itu sebelum ini.

Justeru, baginda  mahu pihak berkenaan menyiasat kejadian tersebut memandangkan aktiviti pemburuan haram masih berlaku di beberapa kawasan hutan di negeri itu dengan yang terbaharu dipercayai malam tadi.

“Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Saya mahu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta polis segera menjalankan siasatan dan sediakan satu laporan penuh berhubung kejadian malam tadi (kelmarin),” titah baginda.

Perkara tersebut dimuat naik melalui satu kenyataan di laman Facebook rasmi baginda.

“Kesemua pemburu ini dipercayai memiliki senjata berupa senapang patah buatan sendiri,” titah baginda lagi.

Sultan Ibrahim bertitah baginda menerima maklumat berserta gambar mengenai aktiviti pemburuan haram berskala besar itu dan mahu dalang di sebalik kegiatan berkenaan serta mereka yang terlibat diheret ke muka pengadilan.

“Berdasarkan maklumat awal, antara lokasi pemburuan haram ialah di Endau-Rompin, Mersing dan Kahang. Haiwan yang diburu secara besar-besaran termasuk kancil dan landak yang disyaki dijual untuk tujuan perubatan tradisional,” titah Sultan Ibrahim.

Baginda juga mahu siasatan dijalankan untuk mengenal pasti jika terdapat penglibatan “orang dalam” daripada Perhilitan dan polis yang membantu kegiatan haram itu.

Baginda mahu polis menjalankan audit mengenai pemilikan lesen senjata api di Johor termasuk individu, syarikat serta pemilikan perladangan. 

“Mengapa ramai sangat memiliki senapang patah? Sudah tentu ia untuk memburu,” titah baginda.