SIMANGGANG: Adun Lingga Simoi Peri memperuntukkan dana RM250,000 projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk menaik taraf jalan utama Kampung Hulu sepanjang 300 meter.

Menurutnya, ia merupakan salah satu projek RTP 2020 yang sangat ditunggu-tunggu oleh rakyat. “Projek menaik taraf jalan utama di Kampung Hulu melibatkan kerja melebarkan jalan.

“Ia diyakini dapat memberikan kemudahan yang lebih selesa kepada pengguna terutama penduduk di situ,” katanya semasa meninjau tapak jalan di sini, semalam. Jelasnya, ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.

Katanya, proses tender serta cabutan undi projek tersebut akan dikendalikan oleh Pejabat Residen Bahagian Sri Aman. Simoi memaklumkan, Kerajaan Sarawak komited untuk memberikan keselesaan kepada rakyat di bandar dan luar bandar.

Katanya lagi, pelaksanaan projek ini turut membuktikan projek RTP memberi kesan besar dalam mengubah landskap sesuatu kawasan.