JENIRI AMIR

SATU daripada perkara yang mudah membakar semangat masyarakat pelbagai kaum di negara ini ialah isu bahasa, selain isu budaya dan agama.

Sesuatu kaum akan pantas bangkit dan menggelegak emosi jika bahasa, budaya dan agama kaum itu dihina dan diperlekeh oleh kaum lain.

Itulah sebabnya di bawah Akta Hasutan 1948, sesiapa yang dianggap cuba menghasut dengan membangkitkan isu berkenaan sehingga dapat mencetuskan ketegangan, konflik dan menggugat keselamatan, akan diambil tindakan sewajarnya.

DAP sebagai parti cauvinis sedar akan perkara ini. Jadi, sedapat mungkin pemimpin DAP akan mengeksploitasikan isu bahasa bagi menarik perhatian masyarakat Cina, termasuk di negeri ini.

Michael Kong, pembantu khas Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mendakwa pihak Majlis Perbandaran Padawan telah menggantikan papan tanda di Jalan Stakan, Kota Sentosa di Kuching secara senyap-senyap sepenuhnya dalam bahasa Melayu tanpa tulisan menggunakan askara Cina.

Beliau mengatakan tanda jalan dalam pelbagai bahasa ialah perkara biasa dan merupakan satu daripada ciri dan gaya hidup orang Sarawak yang seharusnya dibanggakan.

Bagaimanapun, beliau mendakwa kononnya, Kerajaan Sarawak cuba untuk menggugurkan identiti unik karektor atau tulisan berbilang kaum, budaya dan bahasa masyarakat Sarawak.

Ini satu tuduhan serius dan tidak harus dipandang ringan. Beliau turut mendesak agar Kerajaan Sarawak mengembalikan tulisan Cina di papan tanda terbabit. Betulkah dakwaan Michael Kong itu atau beliau sebenarnya mempunyai motif jahat?

Bagi beliau, ini umpan yang paling mudah untuk menarik perhatian masyarakat Cina, lebih-lebih lagi kalau diberi gambaran bahawa seolah-olah kerajaan mahu menghilangklan identiti bahasa kaum berkenaan.

Bukankah ini cara terbaik untuk menjatuhkan imej kerajaan dan memberi gambaran yang buruk terhadapnya?

Dan sekali gus dapat menjulang ‘pejuang’ berkenaan sebagai hero di mata masyarakat Cina? Inilah sebenarnya motif atau agenda tersembunyi pembantu khas Ahli Parlimen Stampin itu apabila beliau cuba membangkitkan isu bahasa Cina di papan tanda.

Mereka yang arif pasti sedar, sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya, apalagi isu berkenaan dibangkitkan menjelang pilihan raya.

Siapa yang tidak sayang akan bahasa dan budaya sendiri? Semua orang sayang akan budaya dan bahasanya. Namun, dalam sebuah negara pelbagai kaum seperti Malaysia, tentu ada tempatnya untuk bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, dan ada tempatnya untuk bahasa etnik.

Kita perlu bersikap realistik dari segi ini, dengan tidak hanya melihat sesuatu isu itu dari sudut pandangan kaum kita sahaja. Betul, bagi ahli politik, sokongan dan bagaimana mempengaruhi pengundi dan masyarakat itu penting.

Tetapi, tentu ada sempadannya dalam segala hal. Bukan semua perkara harus dipolitikkan untuk kepentingan peribadi dan parti.

Bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu perlu dominan dan diberi tempat sewajarnya sesuai dengan kedudukannya. Bahasa Melayu punya kedudukan istimewa di sisi perlembagaan dan undang-undang.

Malah, semua rakyat Malaysia wajar pandai membaca, bertutur dan menulis dalam bahasa itu. Tidak ada alasan kukuh bagi mana-mana kaum untuk tidak memahami bahasa Melayu.

Di mana-mana negara pun, bahasa kebangsaan negara itu perlu dikuasai, tidak kira di negara Barat atau Bimur, negara maju atau membangun. Malah, bukan sahaja mengejutkan, tetapi juga memalukan jika terdapat rakyat yang masih tidak faham akan bahasa kebangsaan negara ini selepas kita merdeka sekian lama.

Bahasa Melayu atau bahasa Inggeris wajar digunakan di tempat tertentu termasuk di papan tanda jalan raya. Dari segi logik, bahasa Melayu seharusnya difahami dan dikuasai semua rakyat di negara ini, termasuk mereka yang mempunyai kemahiran membaca paling asas sekalipun.

Implikasinya amat besar jika ada rakyat yang tidak faham akan bahasa kebangsaan. Tetapi bukan aneh di negara ini, masih ada rakyat yang terdidik dalam bahasa kebangsaan, tetapi gagal menguasai bahasa itu dengan memuaskan.

Bahasa Melayu bukan sahaja perlu diberi tempat dalam majlis rasmi, tetapi juga di tempat awam, termasuk pada papan tanda atau iklan. Hal ini termasuk papan tanda jalan. Di negara ini, menjadi amalan untuk mengutamakan bahasa Melayu bagi papan tanda jalan.

Biasanya bahasa Melayu sahaja dibenarkan tetapi ada juga tempat tertentu menggunakan bahasa asing tetapi atas budi bicara, tetapi bukan rasmi termasuk di lapangan terbang antarabangsa.

Seyogia diingatkan, peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1953/1967, menetapkan bahasa kebangsaan hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan termasuk pada papan tanda nama jalan.

Kalau anda masih ingat pada akhir 2019, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengarahkan supaya semua papan tanda di Shah Alam yang mempunyai tulisan bahasa Cina ditanggalkan dan digantikan dengan papan tanda jalan dengan satu bahasa sahaja iaitu bahasa Melayu.

Titah baginda itu dipercayai susulan laporan media mengenai beberapa papan tanda nama jalan di Shah Alam yang sebelum ini ditulis dengan bahasa Melayu dan Jawi namun kemudian ditukar kepada tulisan Cina serta mengekalkan bahasa Melayu.

Yang hendak ditekankan ialah, bukan semua tempat bahasa Cina diperlukan atau sesuai dipaparkan, termasuk di kawasan Kota Sentosa. Persoalannya, perlu sangatkah askara dalam bahasa Cina dipaparkan di tanda jalan di situ? Betulkah ada orang Cina di kawasan itu langsung tidak faham akan bahasa Melayu?

Kalau betul, saya sarankan mereka supaya mempelajari bahasa Melayu mudah. Saya sokong kalau bahasa Cina digunakan di lapangan terbang antarabangsa di negara ini bagi memudahkan pelancong China yang banyak datang ke negara ini.

Bagaimanapun, di tempat tertentu kita tidak dapat berkompromi dengan kedudukan bahasa Melayu.

Justeru, kepada Michael Kong, saya hendak ingatkan, tidak usahlah mempolitikkan isu bahasa Cina hanya untuk kepentingan peribadi atau parti. Tidak usahlah bermain api kerana akhirnya anda sendiri yang akan terbakar. Anda perlu belajar peribahasa, di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung.

Tidak usahlah cuba menjadi jaguh dengan menjadikan isu ini sebagai isu politik. Hentikan usaha mempolitikkan isu bahasa.

Mahu jadi hero bahasa di SarawakBersikap realistiklah dengan berpegang kepada hakikat bahawa bahasa Melayu ialah bahasa rasmi di negara ini, dan kita semua perlu menghormati dan menguasainya.

Bahasa Melayu perlu dimartabatkan termasuk di papan tanda sama seperti negara-negara lain yang memartabatkan bahasa kebangsaan maing-masing.