BINTULU: Kementerian Utiliti Sarawak telah mengambil alih kesemua 19 Projek Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar Sarawak (RES), setelah pihak kontraktor yang dipertanggungjawabkan sebelum ini tidak dapat menyiapkannya mengikut jadual.

Menterinya Dato Sri Dr Stephen Rundi anak Utom berkata, langkah itu sebahagian usaha Kerajaan Sarawak memenuhi komitmen bagi mencapai liputan bekalan elektrik sepenuhnya di negeri ini menjelang 2025.

“Bererti projek tersebut sudah sarat dan tidak dapat dilakukan kontraktor tersebut.

“Maka, mereka bersedia memberikan atau diambil alih oleh Kerajaan Negeri Sarawak melalui SEB.

“Proses tersebut telah pun siap dan kita sekarang sedang menjalankan ‘on going’ di semua kawasan termasuk di Kemena,” katanya dalam Program Community Extension Outreach (CEOP) anjuran Jabatan Pertanian Bintulu di Rumah Joseph Rungkai, Maskat Labang pada Ahad.

Daripada 19 projek tersebut, empat projek ‘sakit’ itu berada di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena yang ketika ini telah dilaksanakan Kerajaan Sarawak menerusi Sarawak Enegery Berhad (SEB) dan berjalan dengan lancar.

Tambah Dato Sri Stephen Rundi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, beberapa projek SAWAS dan SARES turut dilaksanakan di kawasan DUN Kemena bagi membolehkan beberapa buah kampung menerima bekalan air dan elektrik yang sangat diperlukan walaupun kos pembinaannya sangat mahal.

“SARES dan SAWAS ini merupakan ‘blue ocean strategy’.

“Anda tidak boleh menunggu sehingga 10 tahun baru melaksanakannya kerana kemudahan ini sangat diperlukan rakyat pada masa sekarang.

“Walaupun bukan murah untuk dilaksanakan, tetapi Kerajaan Sarawak perlu melaksanakannya demi rakyat.

“Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak yang membantu Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan projek kemudahan awam kepada rakyat termasuk jalan dan sebagainya,” tambahnya.

Hadir sama isteri Datin Sri Loreta Sawot, Pemangku Pegawai Pertanian Bahagian Bintulu Anggang anak Jimbun, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Sebauh Frances Sherrilia, Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu Unjar, Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya Bintulu Lau Pit Hwa, Jurutera Air, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Bintulu Lai Kien Hong dan Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Jenny Bangga.