BINTULU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) berperanan penting dalam membantu kerajaan menghapuskan penularan wabak COVID-19 di kawasan masing-masing.

Menteri Utiliti Sarawak yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena Dato Sri Dr Stephen Rundi anak Utom berkata KMKK boleh turut memberikan peringatan dan nasihat kepada masyarakat bahaya COVID-19 dan cara mudah untuk membanteras penularannya di kalangan masyarakat.

“Setiap KMKK berperanan dalam memberi peringatan dan nasihat kepada masyarakat supaya sentiasa memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal, kerap basuh tangan dan kawal pergerakan dengan tidak pergi ke tempat sesak dan berisiko.

“Ini selaras dengan konsep kita jaga kita dalam menghapuskan penularan wabak COVDI-19,” katanya dalam Majlis Penyampaian Sijil Perlantikkan Baru dan Sijil Lanjutan Pelantikan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat di Balai Raya Sebauh pada Sabtu.

Beliau percaya jika semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing, nescaya rantaian jangkitan COVID-19 dapat diputuskan.

Pada majlis itu, seramai 12 orang Tuai Rumah baharu menerima surat perlantikan dan 18 Ketua Kaum menerima surat perlantikan lanjutan.

Turut hadir ADUN Murum Kenedy Chuk Pai Ugon, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pembangunan Murid) Tatau/Sebauh Mohamad Nor bin Abdullah @ Tana, Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak Jenny Bangga dan Pemangku Pegawài Daerah Sebauh Baithy.