LIMBANG: Jeti Santaba yang mengambil sempena nama Sungai Santaba Kampung Patiambun merupakan satu lagi projek kemudahan pelancongan di Daerah Limbang.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, ianya terkenal dengan monyet Belanda dan kelip-kelip pada sebelah malam yang boleh perhatian pelancong.

“Mula-mula projek ini bermula pada tiga tahun yang lepas, peruntukan dari kerajaan Persekutuan disalur kepada Majlis Daerah Limbang.

“Ada dua ataupun tiga peringkat, yang pertama bernilai RM500 ribu, yang kedua RM400 ribu dan juga ada peruntukan daripada Lembaga kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sebab di sini juga ada pendaratan ikan.

“LKIM juga membuat jeti bernilai RM100 ribu. Jadi setakat ini kita telah belanjakan RM1 juta keseluruhannya untuk membina jeti menuju ke kawasan bakau di dalam,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Jeti Santaba Kampung Patiambun pada Ahad.

Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk menyambung jeti sepanjang satu kilometer dan ianya dalam peringkat untuk pemberian tender.

Datuk Dr Abdul Rahman Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota menambah untuk lebih lengkap lagi, sebanyak RM50 ribu telah diperuntukan pada tahun ini untuk membina tandas yang sempurna dan sebuah kantin supaya memberi kemudahan kepada pengunjung-pengunjung.

“Kita akan memasukkan Jeti Santaba ini dalam ‘master plan’ perancangan kita yang mana Jabatan Landskap Negara telahpun memperuntukan RM500 ribu untuk membuat ‘master plan’ bagi produk-produk pelancongan di Daerah Limbang termasuk juga di Tedungan dan sebelah Medamit.

“Kita juga akan memasukkan Santaba ini supaya kemudahan-kemudahan akan ditambah dari masa ke semasa,” tambahnya.

Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Limbang Hj Sebi bin Hj Abang, Walikota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian bin Mohat, Penolong Setiausaha Majlis Daerah Limbang Mohammad Syamil Jumain, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Pembangunan Komuniti MDL Kaunselor Frederick Lalung Ngilo dan Ketua Kampung Patiambun Hj Ahmad bin Mail.