KUCHING: Seramai 34 individu termasuk dua warga asing dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 kerana tidak mematuhi SOP di tempat awam, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani berkata, tindakan tersebut diambil susulan pemeriksaan pasukan pemantau khas dari IPD Kuching di lokasi awam termasuk kawasan Tebingan Kuching, pusat hiburan dan premis makanan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di tempat awam terbabit mendapati kesemua individu itu berkumpul secara beramai-ramai tanpa mematuhi arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Operasi pemantauan semalam pada awalnya menahan seramai 20 individu di kawasan Tebingan Kuching. “Di kokasi kedua iaitu di premis makanan, 14 individu terditi daripada seorang penjaga premis, seorang pemilik premis dan 12 pelanggan dikompaun RM1,000.

“Seterusnya, serbuan di pusat hiburan di Jalan Petanak turut menahan dua wanita warga asing yang didapati tidak mematuhi SOP dikeluarkan oleh kerajaan,” tegasnya menerusi satu kenyataan.

Tambahnya, kesemua suspek ditahan di bawah Peraturan 3, Peraturanperaturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 manakala kedua-dua suspek warga asing Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Susulan itu katanya, kompaun RM1,000 terbabit perlu dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dalam tempoh 14 hari.

Dedahnya, operasi turut mendapati dua daripada empat premis yang diperiksa gagal menyediakan alat sukat suhu, buku catatan pelanggan, dan cecair sanitasi.

Ujarnya, orang awam khususnya pengusaha premis dan pelanggan dinasihati untuk sentiasa mengikuti serta patuh kepada SOP PKPP terutamanya berkaitan penjarakan fizikal serta penyediaan alat keperluan untuk pencegahan penularan Covid19 di premis masing-masing.