SARIKEI: Peranan pemimpin masyarakat tetap relevan sebagai medium penghubung rakyat dengan kerajaan.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, sebagai pemimpin akar umbi, kelebihan itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya supaya usaha pembangunan kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan sempurna.

“Malah bagi kawasan Dun Kuala Rajang, kami menyediakan pelbagai bantuan kepada rakyat termasuk pendidikan, nelayan dan lain-lain lagi.

“Di sinilah pentingnya peranan pemimpin masyarakat untuk memberi penerangan kepada rakyat mengenai program-program yang disalurkan itu,” katanya pada Program Ziarah Ukas di Sri Nyelong di sini, semalam.

Beliau menegaskan, Kerajaan Sarawak terus komited dalam usahanya membela nasib segenap lapisan rakyat termasuk mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Jelasnya lagi, pembangunan dilaksanakan secara konsisten dan bersungguh-sungguh bagi memastikannya dapat memberi manfaat kepada rakyat untuk jangka panjang.

“Dari sisi lain, pemimpin masyarakat harus menjadi contoh yang baik kepada masyarakat selain memiliki integriti tinggi dalam memimpin masyarakat di bawah pimpinannya,” tambahnya.

Seramai 30 asnaf menerima sumbangan berupa makanan asas, sementara 12 sekolah menerima pelitup muka.

Program itu sebahagian insiatif Ukas untuk mendapatkan input mengenai keadaan semasa di peringkat akar umbi, di samping menyantuni golongan sasar dengan pendekatan lebih efisien dan berkesan.

Pada masa yang sama, program itu juga menyemai serta meningkatkan muhibah dalam kalangan penduduk melalui aktiviti kemasyarakatan. Timbalan Residen Sarikei Abang Mohd Porkan Abang Budiman dan Ketua Kaum Sehon Ujang antara yang turut hadir.