KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata,

tindakan pemilik gerai burger membuat live Facebook mendedahkan lokasi-lokasi kedai judi merupakan satu tindakan nekad dan berani selepas gerai perniagaannya di ‘angkut’ oleh pihak MBSA.

Ujarnya, sudah pastinya tindakan ini akan mengundang kemarahan kepada sindiket-sindiket judi apabila kerja jahat mereka dibongkar.

“Apa yang menjadi kembimbangan kami adalah keselamatan individu ini dan ahli keluarganya yang berisiko tinggi diancam, diugut dan tidak mustahil juga dibunuh.

“Mohon pihak berkuasa seperti PDRM memberi perlindungan kepada beliau dan ahli keluarga serta jaminan keselamatan untuk mereka,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berharap pihak berkuasa terus bertindak secara telus dalam membanteras sindiket-sindiket perjudian dan maksiat dengan konsisten tanpa perlu ‘gemparan’ seperti ini.

“Kita tidak mahu aktiviti perjudian dan maksiat ini terus menjadi “perosak” keluarga dan masyarakat,” katanya lagi.

Jelasnya, isu kedai kedai judi sememangnya satu ‘virus’  yang sejak dulu tiada ubatnya.

“Dilaporkan taukey-taukey ini amat licik dan tidak pelik jika dikatakan mereka mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa yang khianat,” katanya.