KUCHING: Isu sekolah yang mempunyai kekurangan bilangan murid di Sarawak menimbulkan dilema bukan sahaja kepada pelajar namun juga kepada 681 buah sekolah, kata Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Penyelidikan Datuk Seri Michael Manyin Jawong.

Menurut beliau, terdapat 300 sekolah di seluruh Sarawak mempunyai kurang daripada 50 orang pelajar dan hal ini menyebabkan guru-guru terpaksa mengajar mata pelajaran di luar daripada kepakaran mereka.

“Satu sahaja masalah yang kita hadapi pada masa ini ialah, pertama, bila sekolah sudah ada, kita mempunyai banyak sekolah kurang murid (Kurang pendaftaran), kesemuanya ialah dalam 681 sekolah kurang murid.

“Manakala, 300 sekolah di Sarawak, mempunyai kurang dari 50 orang pelajar. Kesemua sekolah berkenaan akan menghadapi masalah banyak guru berkualiti akan mengajar mata pelajaran di luar daripada kepakaran mereka,” katanya selepas ditemui media pada Majlis Makan Malam Bersama Ahli-ahli Majlis Motivasi Tahun 2020 di Kuching, pada Ahad.

Sementara itu, mengenai projek menaik taraf sekolah daif di negeri Sarawak katanya, sebanyak 20% sekolah daif yang sudah naik taraf melalui Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Melalui Kementerian Pendidikan, kita telah siapkan hampir 20% sekolah daif di Sarawak, saya berharap agar kita dapat siapkannya lebih daripada itu,” ujarnya.