KUCHING: Pas Sarawak bersedia menghadapi PRN-12 Sarawak dan juga Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang. 

Menurut Pesuruhjaya Pas Sarawak Jofri Jaraiee, beberapa kawasan telah dikenal pasti untuk Pas Sarawak bertanding termasuk kawasan tradisi Pas. 

“Untuk rekod, Pas telah turun padang bersama masyarakat walaupun pilihan raya yang lepas belum memiliki sebarang kerusi,” katanya.

“Undi signifikan Pas pada ketika itu tanpa mempunyai kerjasama politik sudah membuktikan kekuatan Pas di akar umbi dan Pas Sarawak yakin akan lebih kukuh dan menang dengan situasi semasa Pas berada dalam kerajaan Persekutuan. Kemasukan ahli terutama masyarakat Iban membuktikan Pas terus diterima dan mendapat tempat,” katanya dalam satu kenyataan.

Jofri berkata, Pas Sarawak juga akan mencalonkan calon anak Sarawak pelbagai latar belakang akademik serta aktivis masyarakat mengikut keperluan setempat dan berkebolehan membawa aspirasi anak Sarawak. 

“Kebolehan pimpinan tempatan Pas menyuarakan pelbagai isu terutama di media masa membuktikan usaha gigih Pas bekerja untuk rakyat. Malah, bilik-bilik gerakan Pas kini menjadi tempat penduduk merujuk dan mengadu permasalahan setempat,” ujarnya.

Katanya, mengambil kira politik semasa, Pas Sarawak berada dalam kedudukan bebas kerana tiada perbincangan atau kerjasama buat masa ini yang berlaku di Sarawak. 

“Semua ini akan dibincangkan dan diputuskan bersama-sama dengan Pas Pusat sekiranya ada parti tempatan yang mahukan kerjasama,” katanya lagi.