KUALA LUMPUR:  Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, sesiapa pun bebas menubuhkan parti namun ia akan dinilai rakyat.

“Sekiranya ia dilihat sebagai agenda nepotisme, kronisme dan peribadi, ia pasti ditolak. Lebih parah lagi kiranya ia bersekongkol dengan Dap… pasti ditalkinkan awal,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian dalam kenyataan pendek menerusi Twitternya hari ini.

Dilaporkan, Jumaat lalu mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan parti baharu yang dikatakan akan mendukung dasar Bersatu seperti pada awal penubuhannya dulu.

Mei lalu, Dr Mahathir bersama empat lagi digugurkan keahlian mereka daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mereka yang lain ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Keahlian kelima-lima mereka digugurkan atas alasan duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.