Apabila keputusan Mahkamah Tinggi mengenepikan kes saman bekas pengerusi parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), iaitu Dr Mahathir dan empat Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat parti atas nama Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tiga pihak lagi, Mahathir mula menyusun langkah politik.

Langkah ini  adalah tindak balas apabila keputusan Mahkamah Tinggi tidak memihak kepada Mahathir. Justeru, Mahathir  mengumumkan penubuhan parti baharu yang belum diberikan nama rasmi yang dikatakan tidak terikat atau menyokong PN atau PH.

Justeru, apa rasional  parti baharu tersebut apabila tidak memihak kepada mana-mana pihak, sedangkan kedudukan parti baharu tersebut tidak menjamin mampu menarik lima ahli parlimen Bersatu lama ke parti baharu tersebut.

Cuma kemeriahan, parti baharu tersebut seperti percikan bunga api apabila tiba-tiba tiga ahli DUN Bersatu Selangor dikatakan membuat pengumuman keluar daripada  Bersatu dan menjadi ADUN bebas dan menyatakan kecenderungan untuk menyertai parti baharu yang bakal ditubuhkan oleh Mahathir. 

Alasan mereka ialah merasakan perjuangan asal Bersatu tersasar daripada objektif asal penubuhannya, iaitu untuk melawan sebuah kerajaan kleptokrasi selain sanggup menjalin kerjasama dengan individu yang ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu. 

Individu ini termasuklah daripada parti UMNO dan PAS. Sudah pasti melibatkan tokoh-tokoh seperti Hadi Awang, Najib Razak yang parti mereka tewas dalam pilihan umum yang lalu.  Kelompok keluar Bersatu ini juga berasa tindakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi salah satu punca menyebabkan kehilangan mandat rakyat pada PRU14.

Hal ini bermaksud tindakan Muhiyiddin Yassin mengumumkan Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan dan ini menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang selepas 22 bulan memerintah. 

Mereka juga menyatakan Parti Bersatu tidak mendapatkan pandangan akar umbi mahupun perwakilan sebelum mengadakan kerjasama dengan gabungan baharu kerana rata-rata ahli di bawah tidak dapat menerima keputusan yang dibuat hanya di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Dalam konteks ini kecenderungan menyalahkan kepimpinan Muhiyiddin Yassin sangat tinggi, walaupun pada hakikatnya, Mahathirlah  memulakan laluan bagi kerjasama dengan Pas dan UMNO hingga menyebabkan Pakatan Harapan tumbang.

Parti Baharu, Orang Lama

Mahathir dalam sidang media pula menyatakan parti baharu itu akan mendukung dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)  yang lama. Maknanya tidak ada yang baharu dalam dasar perjuangan parti baharu tersebut. Ia lebih kepada penyelesaian terbaik dalam perebutan kuasa dalaman Bersatu. 

Dr Mahathir menamakan dirinya  sebagai menjadi pengerusi parti baharu tersebut  manakala, Ahli Parlimen Jerlun yang juga anaknya sendiri, Datuk Seri Mukhriz bakal dilantik sebagai Presiden parti baharu berkenaan. Dijangka nama parti baharu tersebut ialah Parti Bersatu Rakyat Malaysia, atau apa-apa sinonim dengan nama Bersatu. Hal ini dibuat untuk memudahkan penerimaan akar umbi parti lama dan seterusnya mengambil alih akar umbi dan sokongan politik.

Impak Parti Baharu Mahathir

Kehadiran parti baharu ini patut diraikan dengan semangat demokrasi bagi menambahkan lagi pilihan rakyat.  Setakat ini parti politik serpihan konteporari yang ada ialah Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) yang dipimpin oleh Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Parti Berjasa (Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia) yang diaktifkan semula dan diketuai oleh  Profesor Badrulhisham Abdul Aziz, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang dipimpin oleh Ibrahim Ali.

Ini tidak termasuk parti Amanah dan parti Bersatu sendiri yang masih lagi baru bertapak dan keahlian parti masih belum signifikan dan banyak bergantung kepada bantuan dan dukungan parti PKR dan DAP untuk memenangkan calon mereka dalam pilihan raya.

Dalam aspek kesan kepada landskap  politik Malaysia, perkembangan ini menambahkan lagi jumlah parti berteraskan etnik Melayu sungguhpun Mahathir sendiri  dahulu pernah menyatakan terlalu banyak parti melayu menyebabkan Melayu berpecah. Mahathir sendiri pernah menyatakan “saya sudah terangkan, bahawa orang Melayu ini dia tak pandai politik. Dia seronok nak jadi presiden.“Nak jadi presiden seronok buka parti, nak jadi presiden kena buka parti nanti lama-lama orang Melayu tiada kuasa langsunglah.

“Sebab itu saya kata kita boleh masuk parti apa pun yang sudah ada cukuplah. Ada empat buah parti cukup,” kenyataan ini pernah dinyatakan oleh beliau ketika itu sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana (Berita Harian, 8 Julai 2019). 

Kenyataan ini jelas bahawa Mahathir menyifatkan orang Melayu tidak pandai berpolitik hingga menyebabkan tumbuh terlalu banyak parti politik ketika ini dan Mahathir juga menyatakan akibat terlalu taasub untuk menjadi presiden maka parti politik diwujudkan sehingga menyebabkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu. Namun Mahathir seolah-olah lupa tentang kenyataan yang dikeluarkan oleh dirinya itu.

Persaingan

Ternyata parti baharu ini terpaksa bersaing dengan Parti Bersatu, selain bersaing dengan parti Amanah dalam PH. Malah terpaksa bersaing dengan Umno dan Pas yang lebih banyak akar umbi dan pengundi Melayu. Pilihan raya kecil Slim dapat dijadikan kayu ukur awal reaksi terhadap parti baharu atau calon Bersatu Hitam yang menyokong kuat Mahathir.

Sudah tentu parti baharu akan mengambil masa untuk berkembang dan diterima rakyat Malaysia khususnya orang Melayu. Inilah tahap tertinggi perpecahan orang Melayu selepas pelbagai parti Melayu tumbuh seperti cendawan seperti parti Putra, Ikatan, Berjaya dan Bersatu Merah.

Kelebihan parti Bersatu hanya dilihat pada politik personaliti yang bersifat individu, iaitu Mahathir sendiri yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun dan 22 bulan dalam Pakatan Harapan, selain selain ada 5 ahli parlimen. Selebihnya Parti Bersatu Mahathir sama seperti Parti Putra dan Parti Berjaya yang kurang mempunyai dukungan  di peringkat akar umbi.

Cabaran

Parti Mahathir baharu hanya ada sedikit kelebihan hanya apabila bekerjasama dengan  Pakatan Harapan. Itu pun, sudah pasti PKR sangsi akan kewujudan parti baharu tersebut yang dilihat cuba menghalang atau mengekang Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.  

Sekiranya gagal bekerjasama dengan PH atau Perikatan Nasional maka parti tersebut akan tenggelam di tengah-tengah kewujudan pelbagai parti baharu berteraskan Melayu.

Ternyata kepelbagaian parti patut diraikan dalam konteks demokrasi namun kurang beri kesan ‘snap polls’ pada bila-bila masa.

Hasrat untuk menjadi kuasa baru dalam pasaran politik Melayu menemui jalan sukar kerana  orang Melayu lebih selesa dengan parti Pas, Umno dan sedikit Amanah. Terdapat juga orang Melayu lebih selesa menyertai PKR dan DAP kerana penyertaan tersebut berdasarkan realiti semasa rakyat Malaysia yang berteraskan masyarakat berbilang kaum.

Tambahan pula bekerjasama dengan parti baharu Mahathir bermakna perlu berkongsi dan menyerahkan kerusi kepada parti Mahathir. Sudah perebutan kerusi akan mendatangkan ketidakpuasan hati untuk bekerjasama dengan Mahathir dan ini menyebabkan parti baharu ini kena bekerja tiga kali ganda daripada keadaan biasa..

Ternyata parti baharu Mahathir lebih kepada parti bersifat personaliti kepada Mahathir apabila beliau dilihat masih ingin mahu menjadi calon Perdana Menteri  walaupun PKR tidak bersetuju menerima Mahathir apabila dilihat kurang bersungguh-sungguh  memahkotakan janji  dan serah kuasa kepada Anwar  sehingga mengakibatkan Pakatan Harapan tumbang.

Dalam keadaan terlalu banyak parti untuk disertai orang Melayu sukar parti baharu bertahan kecuali  jika Mahathir mampu tarik golongan anak muda dan golongan Melayu desa dan kota untuk dukung parti baharu tersebut. Yang pastinya, parti baharu Mahathir tidak akan menang sekiranya bertanding di mana-mana kawasan di Sarawak pada pilihan raya negeri akan datang. 

Sesungguhnya, Mahathir perlu membuktikan kehebatan parti baharu di Semenanjung Malaysia dengan mampu menarik sekurang-kurang 5 ahli parlimen Perikatan Nasional menyertai parti baharu Mahathir!

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.