GEDONG: Gedong akan terus menerima limpahan projek pembangunan yang memanfaatkan rakyat di bawah parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, apabila siapnya projek itu kelak, ia bukan sahaja akan menyediakan peluang pekerjaan malah memberi peluang kepada rakyat untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka melalui perkhidmatan, pengangkutan serta perniagaan kecil-kecilan.

“Antara projek pembangunan itu termasuk projek benteng hakisan untuk Kampung Gedong, fasa pertama melibatkan benteng berkepanjangan 500 meter yang telah siap sepenuhnya dengan kos RM7.4 juta dan fasa kedua kini dalam pelaksanaan melibatkan kos RM15 juta manakala fasa ketiga pula dianggarkan menelan kos RM26 juta dan dijangka dapat dilaksanakan bulan September tahun ini,” katanya.

Selain itu, projek anjung usahawan yang merangkumi pelbagai kemudahan seperti memproses makanan, latihan, bengkel dan lain-lain dengan kos RM5 juta akan dikeluarkan tender pada bulan ini.

“Kerajaan Sarawak juga meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk membina kompleks sukan yang turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti padang bola, padang futsal, kolam renang, balapan dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada lawatan ke tapak projek Anjung Usahawan Gedong di sini, Sabtu.

Dalam pada itu, Awang Tengah memberitahu, kerajaan Sarawak juga telah meluluskan projek pembinaan jalan baharu bagi menghubungkan Gedong, Simunjan dan Samarahan.

“Projek yang melibatkan peruntukan sebanyak RM50 juta itu merangkumi pembinaan dua jambatan yang kini masih dalam proses reka bentuk,” jelasnya.

Katanya lagi, Kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan untuk membina rumah rehat di Gedong yang kini pembinaan sedang dilaksanakan.

“Banyak lagi projek yang sedang dirancang ini adalah dari kerajaan negeri bukannya dari pihak lain,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap penduduk di Gedong terus memberi kerjasama dan sokongan kepada wakil rakyat dan kerajaan GPS agar dapat membawa lebih banyak perubahan dan pembangunan di kawasan Gedong.