ANGKA jangkitan Covid-19 di seluruh dunia setakat Ahad meningkat kepada 19,794,330.

Data terbaharu itu sekali gus menunjukkan berlaku pertambahan lebih 200,000 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Menurut Worldometers, angka kematian berkaitan Covid-19 pula mencecah 728,788 kes, dengan Amerika Syarikat (AS) mencatatkan jumlah tertinggi setakat ini, iaitu 165,070 kes.

Bagi kes jangkitan Covid-19, AS kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan 5.14 juta kes positif.

Ini masing-masing diikuti oleh Brazil tiga juta kes positif dengan 100,543 kematian dan India 2.15 juta kes dengan 43,453 kematian.

Rusia dan Afrika Selatan melepasi angka jangkitan setengah juta dengan masing-masing mencatatkan lebih 882,000 kes dan lebih 553,000 kes.

Tujuh negara lagi – Mexico, Peru, Chile, Iran, Columbia, United Kingdom dan Sepanyol masing-masing melepasi angka 300,000 kes positif Covid-19.

Sementara lapan lagi negara merekodkan angka positif melebihi 200,000 iaitu Arab Saudi, Pakistan, Itali, Bangladesh, Turki, Perancis, Jerman serta Argentina.