KANOWIT: Tiga beradik yang terperangkap dalam kereta setelah kenderaan yang dinaiki terhumban ke dalam parit berjaya diselamatkan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit pagi tadi.

Dalam kejadian di Jalan Lukut – Penyulau Kanowit sebuah kereta jenis Honda City yang dinaiki oleh Eurem anak Nuniem, Kaye anak Nuniem dan Joebin anak Nuniem terlibat dalam kemalangan kendiri lalu terbabas dan terjunam ke dalam parit kira-kira jam 10.45 pagi.

Akibat kejadian itu ketiga-tiga mangsa terperangkap di dalam kenderaan tersebut.

Dalam kenyataan rasmi BBP Kanowit menjelaskan pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 10.53 pagi .

Ketua Operasi, PBKII Azahari M. Dai memberitahu setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, Komander Operasi membuat ‘size up’ dan mendapati benar berlaku kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta jenis Honda City terbabas ke dalam parit.

“Ketika kejadian tiga orang lelaki terperangkap dalam kereta tersebut dan mengalami kecederaan serta tidak dapat bergerak.

“Anggota bomba kemudiannya mengeluarkan mangsa dengan ‘strecher’ (pengusung) untuk mengangkat mangsa. Mangsa yang cedera merupakan pemandu kereta itu kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans Hospital Daerah Kanowit untuk tindakan selanjutnya,”ujarnya.

Operasi menyelamat bomba berakhir jam 11.07 pagi.