KUCHING: Banyak pihak termasuk penganalisis meramalkan pilihan raya negeri ke-12 akan diadakan  sebelum hujung tahun ini.

Kali terakhir Sarawak mengadakan pilihan raya ialah pada 2016.

Namun, ketika ditanya pada Sabtu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg membayangkan PRN Sarawak tidak akan diadakan dalam waktu terdekat.

Beliau malah menepis apabila media menyatakan kemungkinan pada Oktober.

“Tidak, masih lama lagi,” kata Abang Johari bagi mengelak daripada terus diasak wartawan mengenai soalan itu.

“Siapa kata begitu? Ia mungkin direka. Tidak, masih lama lagi,” katanya.

Ramalan bertiup kencang dalam kalangan penganalisis dan pemerhati politik bahawa kemungkinan ia diadakan selepas Hari Malaysia.

Abang Johari yang turut ditanya tentang pembentukan parti politik baharu oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, biarkan  Dr Mahathir lakukannya. “Saya tak ada mood untuk beri komen tentang parti baharu itu,” jelasnya.

Dr Mahathir berkata, parti baharu ini akan mendukung dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti pada awal penubuhannya dulu.

“Bukan niat kami nak banyak sangat parti politik Melayu. Sudah ada Umno Pas dan Bersatu.

“Parti ini ditubuhkan atas semangat Melayu dan akan bersifat inklusif dan moderat, berpegang pada janji, ikhlas dan berprinsip,” katanya seperti dipetik media, dua hari lalu.

Mei lalu, Dr Mahathir  bersama empat lagi digugurkan keahlian mereka dari Bersatu.