KUCHING: Kerajaan Sarawak kini dalam proses perundingan dengan pihak pengurusan SMK Chung Hua No. 4 yang terletak di Jalan Haji Taha di sini, bagi memindahkan sekolah itu ke kawasan baharu.

Ketua Menteri Abang Johari Tun Openg menyatakan bahawa kawasan sekolah yang sedia ada adalah terlalu kecil untuk pengembangan lanjut seperti fasiliti sukan.

“Pihak pengurusan Chung Hua meminta untuk dialih ke tempat baru kerana kawasan itu tidak sesuai untuk sekolah, jadi sekarang kita dalam perundingan. Mungkin dalam tahun depan kita dapat tahu,” jelasnya dalam sidang media selepas membuat lawatan ke tapak pembinaan jambatan baru di Kampung Bintangor Kecil di sini pagi tadi.

Tambah beliau, beberapa kawasan baru kini sedang dinilai oleh pihak pengurusan sekolah, bagi melihat kesesuaian untuk pembangunan sekolah.

“Kita akan lihat apa yang berlaku seterusnya. Tetapi kerajaan negeri sememangnya akan membantu.”