KUCHING: Di sebalik kesibukan menyebarkan maklumat mengenai dasar Kerajaan Negeri kepada masyarakat, Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) berkesempatan meluangkan masa menziarahi dan menghulurkan bantuan kepada pesakit yang memerlukan.

Dengan kerjasama Pusat Khidmat Dun Pantai Damai, sebanyak 10 pesakit yang menghidap sakit kronik, terlantar dan selepas menjalani pembedahan di Zon Seberang Hilir dalam kawasan Dun Pantai Damai diziarah.

Kerusi roda, lampin pakai buang dan bungkusan makanan antara bantuan dihulurkan kepada penerima. Rombongan tersebut diketuai Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Menurut Dr Abdul Rahman, program seperti itu amat bermanfaat untuk membantu meringankan bebanan masyarakat yang memerlukan.

“Ini antara usaha agensi Kerajaan Negeri untuk bersama-sama menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Ziarah Ukas Bersama Pusat Khidmat Dun Pantai Damai kelmarin.