KABONG: Jalan raya berlubang di kawasan Kampung Baru di sini yang menimbulkan keresahan pengguna jalan raya telahpun dibaiki kira-kira jam 11 pagi tadi.

Tindakan pantas pihak berwajib membaiki jalan berlubang bahaya itu mendapat reaksi positif pengadu dan penduduk.

Pegawai Khas ADUN Kabong, Mohd.Nur Elfy Amir antara yang paling awal memberi respons terhadap tindakan pihak berkenaan yang telah bertindak pantas menutup lubang tersebut pagi tadi.

Menurut Elfy pihaknya amat berterima kasih atas tindakan pihak terlibat sekali gus katanya tindakan yang diambil memberi gambaran kepada umum bahawa setiap aduan penduduk akan mendapat perhatian sewajarnya meskipun kadang-kala akan mengambil sedikit masa.

Ssbelum….
Sebelum dibaiki….
Selepas dibaiki…
Kerja-kerja membaiki dilakukan pihak yang berkenaan….

“Satu tindakan yang amat saya puji apabila pihak berkenaan terus tampil membaiki jalan berlubang itu dengan kadar yang segera. Kredit kepada semua pihak yang terlibat yang telah menunjukkan komitmen dan tanggungjawab terhadap tugas dengan begitu baik.

“Penduduk dan pengguna jalan raya pun kagum dengan tindakan pantas yang diambil dan pastinya ia satu kebanggaan kepada kita dan kepuasan kepada pihak yang terlibat,”ujarnya.

Semalam tersiar berita berkenaan dengan tajuk ‘Lubang ‘makan’ rim dan tayar kenderaan kini resahkan pengguna jalan raya’ di Sarawak Voice setelah mendapat aduan daripada seorang penduduk.

Pengadu memberitahu dia telah membuat aduan secara lisan dan juga bertulis sebelum ini.

Lubang yang terbentuk di atas jalan raya utama di kawasan Kampung Baru itu dikatakan telah wujud sejak beberapa bulan lalu namun tidak dibaiki lantas mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Pengadu yang enggan namanya disiarkan semalam hari ini sekali lagi tampil dengan respons positif mengucapkan terima kasih atas tindakan segera yang diambil pihak berwajib.

Katanya aduan yang dibuatnya adalah atas dasar prihatin kepada keselamatan pengguna jalan raya dan berharap supaya masalah itu diatasi demi kebaikan semua.

Justeru katanya aduan yang dibuatnya kepada pihak media semalam tidak ada niat untuk memburukkan sesiapa dalam hal tersebut melainkan sekadar aduan berbentuk makluman sahaja supaya diambil perhatian.

Kini katanya perkara tersebut sudah selesai dan tidak apa apa lagi yang hendak dibangkitkan berkaitan perkara tersebut.