KUCHING: Jangan mempolitikan isu papan tanda jalan raya di Jalan Stakan, Kota Sentosa di sini, tegas Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang.

Beliau berkata demikian, ketika membidas kenyataan Pembantu Khas kepada Chong Chieng Jen iaitu Michael Kong Feng Nian yang mengatakan bahawa pihak MPP (local councils) secara senyap-senyap telah menggantikan papan tanda jalan kawasan tersebut sepenuhnya dalam Bahasa Melayu dan tanpa tulisan Cina (Chinese Character).

Menurut Khere Chiang, beliau ingin mengingatkan agar semua parti politik bukan hanya DAP agar tidak memandang isu ini sebagai perkara menarik untuk meningkatkan jurang dalam politik.

“Kita mempunyai masyarakat yang berbilang kaum dan papan tanda jalan di Sarawak juga ada yang ditulis dalam Bahasa Cina, Melayu bahkan Inggeris.

“Oleh itu, saya ingin mengingatkan semua rakyat Sarawak dan parti politik di negeri ini agar tidak mempolitikan isu sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Jom Cegah Covid-19 dan Amalkan Gaya Norma Baru di Pasar Awam Kota Sentosa, di sini semalam.

Tambah Khere Chiang, jika terdapat pihak yang memikirkan tulisan Cina itu benar-benar penting di papan tanda jalan dalam kawasan mereka ia boleh dimaklumkan kepadanya.

“Saya akan melihat perkara ini secara praktikal dan kami (MPP) akan memutuskan sama ada kami perlu meletakkan tulisan Cina, Melayu dan sebagainya.

“Ia termasuk dengan apa sahaja tulisan lain, kami akan putuskan sama ada perlu diletakkan atau tidak. Jika ia memberi manfaat dan wajar kepada semua pihak, kita akan laksanakan,” tegasnya.

Beliau menjelaskan, masyarakat di negeri ini sudah hidup dalam keadaan harmoni setelah sekian lama dan perkara tersebut perlu dikekalkan.

“Kita perlu terus menjaga keamanan dan keharmonian di Sarawak, kita juga perlu terus menjadi contoh kepada negeri lain di seluruh Malaysia.

“Inilah yang saya nasihatkan, janganlah kita mengambil kesempatan terhadap kedamaian, kestabilan dan perpaduan masyarakat di negeri ini.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta kabinetnya juga sangat mementingkan perpaduan.

“Jadi, kepada parti politik yang mahu membangkitkan isu mereka perlu memastikan bahawa perkara itu tidak mengganggu keharmonian pelbagai kaum di negeri ini,” tegasnya.

Untuk rekod, Michael menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook baru-baru ini mengatakan tanda jalan raya dalam pelbagai bahawa merupakan perkara biasa dan salah satu ciri dan gaya hidup orang Sarawak yang boleh dibanggakan.

Bagaimanapun, beliau mendakwa bahawa Kerajaan GPS cuba untuk menggugurkan identiti unik karakter atau tulisan berbilang kaum, budaya dan bahasa masyarakat Sarawak ini.

Ia melibatkan papan tanda jalan di Jalan Stakan, Kota Sentosa di mana beliau mendedahkan bahawa majlis tempatan secara senyap-senyap telah menggantikan papan tanda jalan, kini semua karakter atau tulisan Cina hilang hanya dan masyarakat hanya melihat tanda jalan raya dalam bahasa Melayu.

Beliau juga mendesak supaya Kerajaan Sarawak segera mengembalikan tulisan Cina ke dalam papan tanda jalan raya berkenaan.