KUCHING: Bukan sahaja amat tidak bertanggungjawab, tetapi juga tidak ikhlas terhadap diri, keluarga dan orang lain.

Itu penegasan dibuat Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tentang individu yang mengingkari peraturan operasi standard apabila keluar dari rumah meskipun dalam tempoh kuarantin.

“Saya sendiri pun menjalani tempoh kuarantin dengan duduk di rumah selama 14 hari atas arahan hospital apabila salah seorang pegawai yang menghadiri mesyuarat didapati positif Covid-19,” jelas beliau.

Abang Johari berkata demikian di satu majlis di sini pada Jumaat.

“Memang saya tidak selesa apabila diasingkan daripada ahli keluarga, tetapi saya ikhlas dan sedar akan akibatnya yang dapat membahayakan kesihatan orang lain jika melanggar peraturan,” tegasnya.

Katanya lagi, lebih mengecewakan apabila terdapat segelintir individu di bawah pemantauan dan individu di bawah pengawasan bertindak memotong gelang tangan yang menandakan mereka dikuarantin di rumah tetapi melanggarnya.

Sehingga Jumaat, sudah terdapat 679 kes positif Covid-19 di Sarawak termasuk satu kes baharu, dengan 19 kematian.