TAWAU:  Bukan mudah untuk Datuk Seri Shafie Apdal untuk mengambil keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah Khamis minggu lalu.

Namun, katanya demi rakyat, keputusan berat itu terpaksa diambil walaupun perit.

“Berat hati saya untuk membubarkan DUN Sabah, tetapi apakan daya demi rakyat dan saya harap rakyat akan buat pilihan yang tepat nanti,” katanya seperti dipetik Astro Awani.

Bagi Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu, tindakan tersebut ialah jalan terbaik bagi menangani kemelut politik negeri itu selepas terdapat usaha menjatuhkan kerajaan yang ditadbirnya bersama-sama UPKO, DAP dan PKR.

Sebelumnya, bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa beliau mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.

Namun, percubaan Musa yang mendapat sokongan sebahagian wakil rakyat dalam kerajaan Shafie gagal apabila Shafie mengambil keputusan membubarkan DUN.

Kerajaan pimpinan Shafie hanya dapat bertahan selama 26 bulan. Kerajaan Negeri yang diterajui beliau menyokong Kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad di peringkat persekutuan.

Namun PH hanya bertahan selama 22 bulan apabila ia tumbang pada Februari lalu.

“Kerajaan Warisan ibarat kanak-kanak baru berusia dua tahun, tapi telah memberikan perkhidmatan yang sangat cemerlang untuk rakyat, tetapi tidak tenang asyik diganggu keluar masuk mahkamah,”  kata Shafie.