KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (Pas) menzahirkan kebimbangan atas kejadian yang berulang kali terjadi terhadap identiti atau lambang negara kita, Malaysia.

Menurut Ketua Penerangannya Kamaruzaman Mohamad, antara identiti negara kita adalah Jata Negara, Rukun Negara, Jalur Gemilang dan Lagu Kebangsaan. Perkara ini perlu dipelihara keutuhan, prinsip dan matlamatnya oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Kesalahan dalam memahami falsafah serta sejarah identiti Malaysia boleh menjadikan kita hilang rasa kasih dan sayang kepada negara. Islam juga memandang penting soal memelihara negara daripada dimasuki ideologi menyimpang dan perbuatan-perbuatan yang boleh mencemarkannya,” katanya.

“Isu bendera terbalik, bendera bintang bucu lima, penghinaan Jata Negara dan Lagu Kebangsaan menjadi salah laku yang tidak boleh dikompromi kerana melanggar akta-akta perundangan dan boleh dijatuhkan hukuman jika bersalah,” katanya lagi.

Seharusnya,  Kamaruzaman berkata, perkara seperti ini diberikan perhatian daripada terus berulang. 

“Rakyat mestilah cermat dan waspada bilamana berurusan dengan identiti serta apa juga perkara yang menyentuh sensitiviti masyarakat dan kedaulatan negara,” ujarnya.

Katanya, Pas mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya memelihara sensitiviti agama, kaum termasuklah identiti negara dalam memastikan kestabilan dan kesejahteraan masyarakat majmuk di Malaysia. 

“Diharapkan bulan kemerdekaan ini dapat menjadi pemangkin yang membugarkan semangat patriotik dalam jiwa kita semua,” katanya lagi