KUCHING: Dewan Rakyat kecoh apabila Ahli Parlimen Lubok Antu, Tambat Jugah Muyang dari parti Bebas menyatakan bahawa beliau menyokong Perikatan Nasional (PN) demi mendapatkan lebih banyak projek dan peruntukan di kawasannya.

“Terima kasih telah meluluskan beberapa projek di Lubok Antu. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada menteri bagi pihak kawasan parlimen saya.

“Dan ini sebabnya saya mengalihkan sokongan kepada Perikatan untuk mendapatkan lebih banyak peruntukan untuk kawasan saya,” katanya ketika mencelah ucapan penggulungan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, pada Rabu.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berasa kurang senang dengan kenyataan Tambat kerana mendakwa adalah tidak wajar seorang ahli parlimen berbicara secara terbuka mengenai rasuah semasa persidangan.

“Secara terbuka mengatakan bahawa beliau telah mengalihkan sokongan kerana projek. Ini adalah Dewan Rakyat dan beliau secara terbuka membicarakan rasuah.

“Apa ini semua, Tuan Yang di-Pertua? Adakah kita akan menerimanya secara terbuka di depan pengundi?” soal Rayer sambil menunjukkan keterangan Tambat bertentangan dengan Peraturan Tetap 36 (6).

Namun, Speaker Datuk Azhar Azizan Harun mengatakan bahawa kenyataan Tambat tidak menunjukkan adanya rasuah.

“Lubok Antu haya berterima kasih kepada menteri itu kerana peruntukkan telah diluluskan,” kata Azhar.

“Beliau tidak mengatakan bahawa beliau menyokong Perikatan selepas bersetuju akan dibayar atau diberikan lebih banyak peruntukan. Mungkin Jelutong memahami perkara berkenaan secara berbeza,” kata Azhar.

Pada 5 Jun lalu, Tambat mengumumkan bahawa beliau akan meninggalkan PKR dan menjadi ahli parti Bebas dan menyokong penuh PN dan GPS.