KUALA LUMPUR: Sarawak membuktikan keseriusan dalam usaha membangunkan industri sukan elektronik melalui pembangunan fasiliti sukan elektronik, SESA Mini Esports Hub yang terletak di D-Virtual Park, Kota Samarahan.

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Arena Esports itu merupakan inisiatif Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sarawak (SESA).

“Arena Esports ini merupakan inisiatif Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sarawak (SESA) bersama pihak swasta, fasiliti SESA Mini Esports Hub yang berkeluasan 7,000 kaki persegi dan dilengkapi dengan 60 buah gaming computer, enam buah bilik live streaming, dua sudut gaming console, satu ruang bilik perbincangan dan satu ruang pengurusan acara terbuka,” jelas beliau semasa sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Selain daripada pembangunan fasiliti, Dato’ Seri Reezal berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga giat melaksanakan aktiviti dan program seperti My Esports PUBG pada 18 hingga 26 Julai 2020 dan My Esports PES20 peringkat Negeri Sarawak pada 1 hingga 9 Ogos 2020 dengan menggunakan kelengkapan studio produksi di SESA Mini Esports Hub.