KABONG: Pihak Pengurusan Masjid Assabirin di sini akan menyediakan jamuan dalam paket kepada para jemaah yang hadir semasa Solat Jumaat esok (7 Ogos).

Pengerusi Pengurusan Masjid Assabirin, Ahmad Johar Haji Bidin memaklumkan perkara berkenaan ketika ditemui hari ini.

Menurut Johar penyediaan makanan yang sudah dipaket itu adalah sebagai jamuan kesyukuran sempena Hari Raya Aidiladha dan majlis korban yang dilakukan pada tahun ini.

“Esok ( 7 Ogos) jumlah jemaah yang dibolehkan menunaikan solat masih kekal seperti ketika solat Sunat Aidiladha iaitu seramai 548 orang. Pihak pengurusan menyediakan bilangan bungkusan makanan untuk semua yang hadir.

“Semua yang hadir boleh mengambil makanan yang telah siap dipaket sebaik selesai solat Jumaat untuk dibawa balik.

“Pihak pengurusan tidak dapat melaksanakan sesi jamuan makan beramai-ramai di masjid kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada masa kini,” ujarnya.

Kata Johar lagi, para jemaah juga dikehendaki memakai pelitup separuh muka bagi mencegah Covid-19 dan perlu membawa sejadah sendiri.

Tambah Johar, stesen petugas pengimbas suhu untuk jemaah yang hadir akan beroperasi di pintu masuk utama dan orang ramai yang hadir akan diimbas suhu dan dikehendaki menulis nama dan nombor telefon di dalam buku kehadiran yang disediakan.