MIRI: Sepasang kekasih warga tempatan berusia 28 dan 43 tahun dicekup bersama-sama dadah pelbagai jenis bernilai lebih RM2 juta di kondominium mewah pada Isnin.

Rampasan dadah RM2,080,890 itu dapat digunakan oleh 195,688 orang penagih dadah.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar M M Sree berkata, ia rampasan terbesar kegiatan dadah di Sarawak tahun ini.

Pemeriksaan mendapati kondominium berkenaan digunakan sebagai makmal mini bagi aktiviti pemprosesan dadah termasuk ekstasi, ketamin, eramin 5 dan syabu.

Menurut Dev, siasatan juga mendapati suspek turut menyimpan beberapa barang larangan di unit lain di bangunan kondo yang sama.

Turut dirampas wang tunai RM5,360, kereta Perodua Myvi dan rantai emas berharga sekitar RM29,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.