KARACHI: Beberapa hari sebelum Hari Raya Aidiladha, pemilik kedai cuci kereta,
Sheikh Sagheer mula mengubah perniagaan kedai cucian keretanya kepada mencuci haiwan berkaki empat.

Penduduk tempatan membawa lembu, kambing dan biri-biri untuk dibersihkan badannya sebelum disembelih pada Hari Raya Korban.

Sagheer, 42, memberitahu semua itu bermula kira-kira lima tahun lalu apabila dia dilihat mencuci lembu di premis perniagaannya menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Mereka yang melihatnya membersihkan haiwan itu datang ke kedainya membawa haiwan masing-masing kemudian.

Sebahagian besar haiwan itu datang dari kawasan pasar di pinggir Karachi yang terkenal sebagai bazar haiwan terbesar yang biasanya dikunjungi ribuan pembeli menjelang ketibaan Hari Raya Korban.

Bazar haiwan ini dipenuhi kambing, lembu, seladang, kambing biri-biri bahkan unta.

Haiwan-haiwan ini biasanya datang dalam keadaan kotor dipenuhi debu, pasir dan najis selepas dikumpulkan di dalam lori atau kenderaan lain.

Sagheer hanya meminta bayaran 100 rupees (RM5.61) untuk setiap haiwan yang dibersihkan badannya di kedai tersebut.

Haiwan-haiwan ini dimandi menggunakan hos, disabun, digosok dan kemudiannya disiram dengan air bersih.

Menurut Sagheer, kebersihan haiwan ini perlu dijaga terutama semasa pandemik ini.