KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Kalabakan, Andi Muhammad Suryady Bandy berkata semua parti di Sabah yang mesra kerajaan pusat boleh membuat perjanjian untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru atau lebih di Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ujarnya, Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada UMNO Sabah, PBRS dan MCA dengan rakan-rakan PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PBS dan STAR perlu bekerjasama untuk meletakkan calon satu lawan satu menentang Parti Warisan Sabah/Pakatan Harapan (PH).

Begitu juga katanya, kerusi yang dimenangi oleh UMNO semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu juga perlu dipertahankan, sebagaimana contoh di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam Parlimen Kalabakan yang menang tetapi kedua-dua ADUN telah melompat ke Warisan.

“Contohnya pada PRU-14, di DUN Tanjung Batu dan DUN Sebatik, UMNO telah memenangi kedua-dua kerusi tersebut. Setelah itu kedua-dua ADUN tersebut telah melompat ke parti Warisan. Ini bermaksud kedua-kedua kawasan ini perlu dipertahankan oleh UMNO.

“Pada PRN kali ini, DUN Kukusan adalah tambahan kerusi hasil daripada persempadanan semula di Parlimen Kalabakan. Ini bermaksud ada empat kerusi DUN yang akan dipertandingkan di parlimen Kalabakan nanti,” jelasnya kepada UMNO Online.

Tambahnya juga, lokaliti pada DUN Kukusan merupakan pecahan daripada DUN Tanjung Batu, DUN Merotai dan DUN Sebatik.

“Oleh itu kerusi DUN Kukusan ini perlu meletakkan calon daripada UMNO memandangkan lokaliti pada kawasan tersebut mempunyai jentera UMNO yang kuat dan boleh memberikan kemenangan besar kepada calon UMNO nanti,” katanya.