KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar kerajaan segera mengkaji pendekatan untuk membantu golongan bumiputera dengan menghapuskan dasar yang hanya memberi manfaat kepada golongan elit dan ahli politik.

Katanya, hal ini penting kerana semua rancangan kerajaan untuk membantu bumiputera akan gagal jika tidak dilaksanakan dengan bersasar.

“Kebijakan kerajaan untuk meningkatkan penyertaan bumiputera dan kumpulan minoriti lain dalam ekonomi dan industri hanya boleh dicapai dengan baik melalui pelaburan dalam peningkatan kapasiti, selain latihan kemahiran dan pendidikan,” katanya melalui satu kenyataan.

“Kerajaan harus menumpukan perhatian untuk merancakkan lapangan-lapangan utama ekonomi dan memberikan dukungan yang secukupnya kepada perusahaan kecil dan sederhana,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Menurut Anwar lagi,  syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) mesti dikendalikan oleh tokoh profesional yang berkelayakan, manakala kedudukan pengurusan kanan pula tidak boleh ditentukan berdasarkan kecenderungan politik.

“Saya menggesa kerajaan untuk segera menjalankan kajian yang bebas dan inklusif mengenai punca sebenar mengapa sebahagian besar kaum Bumiputera masih terus derita dan melarat,” katanya lagi.