KUCHING: Makmal penghasilan dadah dan rampasan dadah bernilai kira-kira RM1.33 juta di  di Miri  ditumpaskan pihak polis pada  jam 8 malam Isnin.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar,  pasukan  dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak  diketuai ASP Jong Lak Kho melakukan serbuan terhadap sebuah kondominium terbabit.

Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun dan wanita warganegara China berumur 28 tahun ditahan dalam serbuan itu.

“Pemeriksaan mendapati suspek-suspek menggunakan kondominium itu untuk membuat campuran dadah dan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM1,330,740,” katanya menerusi kenyataan media pada Selasa.

Jelas beliau, dadah yang dirampas ialah serbuk ekstasi dengan anggaran berat 9,055 gram; pil ekstasi (2,520 biji, berat kasar 756 gram); ketamin (berat kasar 998 gram); serbuk eramin 5 (berat kasar 3,159.20 gram); pil eramin 5 (11,000 biji); dan syabu (berat kasar 233 gram)

Kata Dev lagi, ujian saringan mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine, manakala suspek perempuan positif ketamin. 

“Saya mengucapkan tahniah kepada JSJN Sarawak yang telah mengecapi banyak kejayaan sejak kebelakangan ini,” ujarnya. 

“PDRM Sarawak akan terus kekal komited dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan untuk membanteras kegiatan dadah di negeri ini,” katanya lagi.